Monday, July 18, 2011

Malaysia pusat pengeluaran BlackBerry

MALAYSIA kembali mendapat perhatian pelabur antarabangsa khususnya dalam sektor elektronik apabila pengeluar barisan telefon pintar BlackBerry, Research in Motion (RIM) menjadikan negara ini sebagai pusat pengeluaran globalnya.
Bermula bulan ini, RIM mula mengeluarkan barisan model Blackberry Curve 3G untuk pasaran global khususnya Asia Pasifik menerusi kilangnya di Malaysia.

RIM yang berpangkalan di Ontario, Kanada itu juga bercadang untuk memperluaskan barisan model yang dikeluarkan oleh kilang berkenaan secara berperingkat pada masa akan datang.

Naib Presiden RIM Bagi Malaysia, Thailand dan Vietnam, Dany Bolduc, berkata kemudahan pengeluaran barunya di Seberang Perai, Pulau Pinang itu, adalah bagi menampung peningkatan permintaan telefon pintar BlackBerry di rantau Asia dan seluruh dunia.

“Kami secara berterusan mahu meningkatkan keupayaan dalam memenuhi permintaan pelanggan dan secara asasnya, kami yakin pemilihan Malaysia sebagai pusat pengeluaran BlackBerry akan membantu mencapai matlamat itu,” katanya menerusi kenyataan ringkas kepada Berita Harian.

RIM bagaimanapun tidak mendedahkan nilai pelaburan membuka kemudahan berkenaan.
Difahamkan, perkembangan terbaru itu mungkin akan membolehkan pengguna tempatan mendapatkan peralatan berkenaan pada harga lebih berdaya saing berikutan penjimatan dari segi kos pemasangan dan penghantaran.

Mengulas perkembangan itu, Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Jalilah Baba, berkata pihaknya berbesar hati kerana Malaysia diletakkan ke dalam strategi pertumbuhan RIM bagi rantau Asia dan menyambut baik keputusan syarikat itu untuk mengeluarkan produknya di negara ini.

“Blackberry sinonim dengan mutu. RIM telah membuat keputusan bijak untuk memanfaatkan tenaga kerja berbakat yang ditawarkan oleh Malaysia, justeru ia turut mencerminkan keyakinan RIM terhadap persekitaran perniagaan di Malaysia,” katanya.

Berdasarkan ranking yang dikeluarkan oleh firma penyelidikan pasaran Gartner, RIM kini berada di kedudukan keempat dalam pasaran telefon pintar global selepas Nokia, Google dan Apple.

Mengikut kaji selidik Gartner itu, RIM menguasai 12.9 peratus pasaran global berdasarkan sistem operasi di belakang Android (Google), Symbian (Nokia) dan iOS (Apple).

Sementara itu, International Data Corporation (IDC) pula menganggarkan RIM telah menjual 1.5 juta unit peralatan BlackBerry di Asia pada suku pertama tahun ini, di mana sejak 2004 ia berjaya menjual 8.5 juta unit telefon pintar di rantau berkenaan.

Kaji selidik IDC menunjukkan Asia mewakili 11 peratus daripada jualan global RIM pada suku pertama lalu, berbanding lapan peratus untuk keseluruhan tahun lalu.

Ia turut mendapati arah aliran penggunaan yang besar di negara seperti Indonesia dan Thailand di mana gabungan penduduknya melebihi 400 juta orang dengan kebanyakan pengguna menggemari fungsi pesanan segera BlackBerry (BBM) yang tidak mengenakan caj penghantaran.

RIM juga sudah mula menjual peralatan terbarunya, tablet Playbook di pasaran Malaysia bermula semalam di bawah pakej yang disediakan oleh Maxis Bhd.

Difahamkan, RIM sebelum ini merancang untuk menyumber luar sebahagian pengeluarannya ke anak syarikat Flextronics di Seberang Perai.

Flextronics yang berpusat di Singapura dengan kehadiran di 30 negara menyediakan perkhidmatan reka bentuk, kejuruteraan pengeluaran kepada beberapa industri termasuk automotif, komputer, perubatan dan telefon mudah alih. 

sumber : berita harian online